Fokus Khas:
Apakah
Kita Tergolong Sebagai Pembohong Jua? (Are
We part Of The Lie?) oleh: Sadirah K
Pilihanraya kecil Lunas telah menyerlahkan
masalah sosial yang sudah lama menghantui masyarakat kita. Ia bermula dengan
penyingkiran Saudara Anwar Ibrahim. Kisah yang berikutan dan berkaitan
dengan penyiksaan yang ditanggungnya dan beberapa tuduhan yang dilontar
terhadapnya telah menambahkan banyak soalan lagi.
Satu pembohongan
telah dilakar dan banyak usaha telah dilakukan oleh ramai manusia untuk
memperakukan pembohongan ini. Bahawa seorang pemimpin teragung sanggup berbohong
dalam hal ini tidak bererti kenyataannya itu satu kebenaran. Pembohongan yang
utama itu telah mencambahkan pembohongan yang lain dan beberapa penipuan lagi.
Sayangnya segala kerja jijik ini diberikan penghormatan yang sah melalui
sistem kehakiman.
Banyak nyawa telah terancam namun pembohongan terus
dipanjangkan. Inilah yang mencetuskan lebih banyak soalan lagi dan menyebabkan
ramai insan yang mengalami tekanan perasaan yang berantakan.
Pembohongan semakin galak mengambil tempat kebenaran kerana semakin ramai
insan merasa meluat dengan kerenah si pembohong. Kebenaran terus kekal
bersahaja tanpa sebarang muslihatnya. Walaupun persoalan semakin
membuak di kalangan masyarakat Melayu, gelombangnya itu semakin rancak
riaknya di kalangan masyarakat yang lainnya.
Manusia yang memegang kuasa
terus menggunakan jawatan mereka untuk melindungi sebarang tuduhan
pembabitan mereka dengan rasuah. Kalau Mahathir benar-benar bersih daripada
sebarang unsur rasuah dia sepatutnya bersedia untuk diperiksa berdasarkan tuduhan
yang dikemukakan oleh bekas Ketua Pengarah Biro Pencegah Rasuah Negara (BPR). Dia
harus membersihkan namanya. Begitu juga halnya dengan menteri kabinet
yang lain, yang telah dituduh mengikut laporan polis yang telah dibuat oleh orang
luar. Sebaliknya polis lebih bersedia menyiasat laporan yang dibuat
terhadap pemimpin pembangkang seperti Ezam.
Perdana Menteri berhak
untuk memecat sesiapa sahaja dalam kabinetnya. Tetapi cara beliau memecat seorang
timbalan presiden yang dilantik daripada UMNO adalah satu perbuatan yang
mengaibkan kebenaran yang ada. Usaha bersepadu untuk mengaibkan Saudara
Anwar Ibrahim telah melibatkan kecacatan yang tidak ada kebalikannya terhadap
martabat dan maruah diri perdana menteri itu sendiri. Anwar Ibrahim akan
terus menjadi satu agenda besar selagi UMNO dipimpin oleh Mahathir.
Keengganan pucuk pimpinan UMNO yang angkuh untuk menangani episod
Anwar itu akan menjadikan Anwar Ibrahim sebagai satu faktor negatif yang
akan menghantui perjuangan mereka.
Setiap kali berlaku pilihanraya, parti
komponen BN akan berkumpul sendirian mencari bahan hangat untuk dijadikan isu yang
digunakan untuk memancing undi. Selepas pilihanraya itu mereka akan bercakap
mengenai Wawasan 2020, Bangsa Malaysia, perpaduan dan solidariti. Sebetulnya
semakin ramai di kalangan mereka yang tidak selesa dengan paradoks ini.
Mereka
mahu digerakkan oleh idealisme dan bukannya ketakutan. Untuk membina masa
depan mereka, sesuatu yang berunsurkan ketakutan tidak menjadi isu
yang mereka minati. Amalan mereka mengenai keagamaan, saling-mengharap,
globalisasi dan juga pasaran terbuka tidak mempunyai unsur etnik langsung.
Barisan Nasional tidak mempunyai kumpulan tersusun yang membincangkan isu
yang penting dan berdialog mengenainya. Dasar parti itu adalah berunsurkan
'apa raja monyet buat, semua monyet bawahan mesti turut". Inilah konsep
pendekatan dan strategi mereka. Itu sebabnya mereka menghadapi banyak masalah
dalam konsep Sekolah Wawasan. Kalaulah BN mempunyai kekuatannya sudah tentu
ia mampu mengawal semua parti komponen yang ada.
Apakah bentuk pembaharuan
yang boleh kita harapkan daripada mereka? Mereka hanya mampu terus
bergelodak dalam pekasam masalah mereka dan terus mencetuskan bau yang merengak.
Mereka sudah ketandusan kepimpinan untuk melakukan perubahan yang diperlukan itu
dan krisis yang ada akan terus membelenggu mereka. Tidak ada yang baru dan menarik
daripada mereka selain daripada muka lama dan suara basi yang melolongkan slogan
etnik purba.
Tetapi kita direstukan dengan satu pilihan
alternatif yang lahir dari himpitan hidup sejarah kita. Barisan Alternatif tidak
semestinya satu gagasan yang terbaik masa kini. Namun ia menjanjikan sesuatu yang
serba mungkin kepada semua rakyat Malaysia Inilah dia satu impian yang
gemerlapan untuk masa depan kita. Asas kekuatan impian itu adalah disebabkan
penubuhannya yang bukan berdasarkan perkauman. Sama ada mereka memberikan
penekanan kepada keadilan, sosialisme, demokrasi ataupun Islam.
Yang pentingnya semua itu lebih menarik daripada perkauman, Inilah
kunci penting kepada masyarakat kita yang multi-kaum itu.
Kita telah
merdeka selama 43 tahun. Sudah tiba masanya untuk kita memperbetulkan
masalah yang ada dari sudut prinsipnya dan bukan dari sudut perkauman lagi.
Kalaulah BN wujud sebagai sebuah parti yang kuat dan lebih
berdaya daripada komponen parti yang ada, mereka tentu berjaya memberikan
kepimpinan itu. Malangnya mereka telah gagal.
Krisis yang meledak
telah melahirkan BA. Inilah peluang kepada generasi yang ada untuk
mengambil peluang melakar sebuah negara baru di millennium baru. Kita perlu
melakarkan asas perjuangan kita dengan garis asas filosofi yang
membawa banyak makna dan nilai harapan kepada semua rakyat Malaysia.
Sebagai
satu parti koalisi yang baru BA memang berhadapan dengan
cabaran yang serius belaka. Cabaran ini berbentuk mekanisme, kaedah dan
pendekatan untuk terus berdialog dan berbincang. Mesti ada peraturan untuk membuat
kepastian yang dapat bertahan terhadap tekanan dan propaganda BN.
Kepercayaan
dan kejujuran di setiap tahap kepimpinan adalah sesuatu yang
kritikal dalam usaha ini. Semua usaha ini masih di tahap awalan lagi dan
setiap rakyat Malaysia harus berdoa agar usaha itu akan berjaya. Namun,
cabaran untuk melakukan anjakan paradigma daripada pemikiran yang bersalutkan
unsur etnik kepada amalan berprinsip perlu dikongsi-sama oleh
setiap ahli di setiap peringkat.
Pemikiran begini mungkin dapat
diterima-pakai oleh pucuk kepimpinan di peringkat atasan, tetapi di
peringkat cawangan kita perlu melakarkan satu hubungan kerja yang rapat di
antara parti yang terbabit. Kerana itu kita dapati ada ahli daripada kaum India
dalam DAP yang bercakap mengenai kerusi untuk orang India. Semangat
kerjasama dalam BA akan terjejas kalau pemikiran yang berasaskan perkauman
terus dibiarkan mempengaruhi kenyataan berpolitik.
Di waktu yang sama
seseorang itu tidak boleh dibiarkan terus idealistic (berangan-angan) dan
menidakkan realiti perkauman yang wujud dalam masyarakat kita. Ini
perlu satu kepintaran untuk mengimbangi kematangan itu. Pucuk pimpinan BA harus
menyekat penggandaan keahlian dengan cara menerima kemasukan kumpulan yang
berbentuk perkauman. Mereka harus memberi penekanan dan fokus kepada
memperkuatkan dialog di antara parti dan perbincangan terhadap isu
yang hangat sesuatu masa. Mesti ada usaha untuk mendidik semua pihak bahawa BA
adalah sebuah parti perjuangan yang tidak berasaskan perkauman. Semua ini
memerlukan perdebatan politik berasaskan fakta dan kenyataan yang mudah
difahami oleh rakyat Malaysia.
BA harus bekerjasama dengan
'Suqui' dan kumpulan lain untuk mencerna fikiran yang proaktif yang dapat
menyumbang kepada hubungan baik antara kaum. Kita telah melihat bagaimana
sektor korporat dalam negara dan juga di arena global yang mampu merobah struktur
organisasi mereka untuk menyerap pembaharuan. Segala faktor yang menjadi unsur
perubahan itu boleh berbentuk dalaman dan juga luaran yang menyangkuti
kos teknologi, sumber manusia, kualiti ataupun pun saingan. Melakukan
perubahan untuk mencapai keuntungan sudah menjadi stail masa kini. Organisasi yang
tidak mampu melakukan perubahan itu baik secara dalamannya ataupun pada luarannya
akan kekal menjadi dinasor ekonomi sahaja. Malangnya kita telah selama ini
merelakan keadaan demikian kepada institusi politik negara ini.
Golongan
yang memerintah telah leka dan alpa. Strategi mereka yang berasaskan ketakutan itu
yang kerap bersalutkan slogan kestabilan hanya menjanjikan status quo
yang ada. Mereka lebih berminat untuk mengekalkan kuasa. Krisis yang melanda
negara kini, mendedahkan pelbagai kelemahannya. Kita telah merelakan
institusi feudal yang tidak berkenan kepada perubahan. Kesannya amat jelas sekali.
Bahagian eksekutif kerajaan masih lagi mengamalkan dasar menekan
dengan menafikan penyertaan semua peringkat dalam proses demokrasi.
Imej
dan martabat negara telah tercemar di mata dunia disebabkan
nafsu-nafsi seorang pemimpin yang autokrat dan penyokongnya yang tidak
bertulang belakang. Penekanan terhadap kebebasan rakyat dan penggunaan
undang-undang yang drakonian telah membantutkan kreativiti.
Kita
memang mempunyai segala fesyen demokrasi tanpa intinya. Akhirnya demokrasi
itu perlu memuaskan kehendak dan keperluan rakyat yang ada. Kini sudah
tiba masa untuk kita bersuara lantang. Apakah kita akan terus menjadi
sebahagian kumpulan mereka yang berbohong? Langkah yang paling mudah
yang perlu dilakukan oleh orang yang berani ialah tidak terlibat dengan segala
pembohongan itu. ¡§Satu perkataan yang benar adalah lebih bermakna
daripada seluruh dunia¡¨ demikian kata Solzhenitsyn. Pembohongan memang
berleluasa di Malaysia. Kita mempunyai terlalu ramai pemimpin yang pintar memutar-belitkan
pembohongan menjadi satu kebenaran. Hanya mereka yang tidak mempunyai kuasa
yang menuduh orang lain kerana masalah itu.
Kekuasaan muncul hasil daripada
proses perubahan tanpa pembabitan perasaan takut ataupun penafian yang
dogmatik. Ia mendapatkan kekuatan daripada perubahan yang lahir
dari dalam diri kita bukan disebabkan gerakan mengimpikan
kebendaan ataupun status social, tetapi disebabkan motivasi dalaman yang
bersangkutan dengan moral dan spiritual.
Ketika Ramadhan masih berkumandang
dan sambil kita mengimbangi tekanan dalaman yang merangsang naluri
kita dan mengingatkan kita kepada kuasa Allah kita perlu bertindak agar keadilan
berkuasa dalam negara kita. Soal untuk kita bersikap berkecuali tidak timbul
lagi. Cabarannya ialah melakukan perubahan untuk semua dan membayangkan masa
depan kita dengan mengambil kira akan segala caranya dan juga hasilnya
nanti.
Terjemahan MT |